Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Oscar Arribas mengakui hairan dengan keputusan pengadil membatalkan gol beliau dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Buriram United.
Tuan rumah menyangka telah membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi Arribas. Meskipun begitu, pengadil kemudiannya membatalkan gol tersebut atas alasan bekas pemain FC Cartagena itu mengasari penjaga gol Buriram, Neil Etheridge.
JDT kemudiannya mendahului tiga minit selepas itu menerusi percubaan Arribas dari luar kotak penalti. Stefan Schimmer memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dengan gol penyamaan pada minit akhir babak pertama.
Apabila diminta mengulas gol yang dibatalkan itu, Arribas menegaskan bahawa beliau tidak mengasari Etheridge semasa menjaringkan gol.
“Saya tidak mengasari penjaga gol lawan, ia cabaran satu lawan satu dan beliau (Etheridge) gagal mendapatkan bola. Pada pandangan saya, tiada kekasaran yang berlaku.
“Malah, bila saya membuat sentuhan, bola sudah berada di kaki saya. Dan saya bertindak pantas menolak bola ke dalam gawang,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
Gol itu merupakan gol kedua Arribas bersama JDT musim ini. Selain gol ketika menentang Buriram, beliau turut menjaringkan gol dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Kuching City FC.