Penjaga gol muda Tampines Rovers, Kasey Rogers meraih penampilan sulung mengagumkan di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini kerana penjaga gol berusia 16 tahun itu diberi peluang beraksi menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) dalam aksi kedua pusingan 16 ACL2 di Stadium Jalan Besar.
Rogers cemerlang membantu The Stags menempah tiket suku akhir dengan mengalahkan CAHN 3-1. Tampines Rovers mara dengan keputusan agregat 6-1.
Apa yang menarik ialah Rogers akan kembali ke sekolah sehari selepas perlawanan. Hal ini diakuinya dalam temu bual bersama wartawan sukan The Straits Times, Zia-ul Raushan.
“Hari ini saya tak sekolah kerana Tahun Baru Cina tapi esok ya. Saya akan bersekolah pada jam 8.00 pagi,” katanya.
Rogers turut berharap dapat menjadikan penampilan ini sebagai batu loncatan untuk tampil lebih baik bersama Tampines Rovers.
“Ini cuma satu batu loncatan untuk saya. Harapnya selepas ini dan beberapa bulan seterusnya, saya akan dapat lebih banyak peluang untuk beraksi dan berada dalam liga yang lebih besar dan bertaraf tinggi,” tambahnya.
The Stags akan berdepan sama ada Bangkok United atau Macarthur di peringkat suku akhir.