Pemain tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh berpendapat Palestin memiliki kelebihan menjelang aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Perlawanan antara Jordan dan Palestin bakal dilangsungkan di Stadium Cheras pada 10 malam esok.
Pemain Jordan tersebut turut mengakui tidak memandang rendah cabaran Palestin yang memiliki kekuatan tersendiri hingga berjaya layak ke peringkat ini.
“Ini perlawanan penting buat kami, Palestin adalah pasukan yang kuat. Jordan harus tebus kembali kekecewaan lalu dan berharap akan meraih tiga mata untuk aksi ini.
“Jordan sudah bersedia mental dan fizikal untuk perlawanan ini dan kami mahu kembali ke Jordan dengan keputusan yang positif untuk penyokong kami.
“Secara peribadinya dan juga daripada beberapa rakan sepasukan, bermain di Malaysia akan menjadi kelebihan buat Palestin kerana mereka sudah berada lebih seminggu di sini.
“Saya bermain di liga Malaysia dan saya tahu ada orang yang benar-benar sukakan bola sepak di sini. Saya yakin mereka akan hadir menyaksikan perlawanan ini.” ujar Noor Al-Rawabdeh.
Jordan sebelum ini terikat seri 1-1 menentang Kuwait setelah melepaskan jaringan pada minit akhir perlawanan menerusi sepakan penalti.