Palestin boleh menghela nafas lega kerana sudah mempunyai gelanggang berkecuali untuk aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Australia pada 21 November ini.
Football Palestin mendedahkan Singa Kanaan telah bersetuju memilih Kuwait sebagai gelanggang berkecuali mereka pada tarikh tersebut.
Pemilihan ini memberi kelegaan kepada pasukan itu selepas cubaan beraksi di gelanggang berkecuali yang ditawarkan Algeria tidak mendapat lampu hijau daripada AFC.
Pada masa sama, keputusan ini sedikit sebanyak menghampakan peminat bola sepak Malaysia yang berharap dapat melihat mereka beraksi di negara ini.
Ini disebabkan mereka sebelum ini patut beraksi dalam Pestabola Merdeka 2023.
Bagaimanapun, isu keselamatan yang timbul susulan konflik Israel-Palestin yang tercetus pada 7 Oktober lalu memaksa mereka membatalkan penyertaan ke kejohanan berkenaan.
Malah, Malaysia antara negara yang menawarkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang berkecuali Palestin bila turun menentang Australia.
Selain Malaysia, Indonesia dan Jordan turut menawarkan kemudahan stadium sebagai gelanggang berkecuali buat Singa Kanaan.
Antara sebab Kuwait dipilih kerana lokasinya yang berhampiran dengan Palestin.
Australia dijangka tidak berdepan masalah bila beraksi di Kuwait nanti. Ini kerana di situlah, mereka melalui pusingan kelayakan berpusat zon Asia untuk layak ke Piala Dunia 2022.
Palestin berharap dapat mengekalkan rekod tanpa kalah setiap kali beraksi di gelanggang sendiri.
Walaupun beraksi di gelanggang berkecuali, itu tidak akan menjadi halangan buat anak-anak buah Makram Daboub itu.