Pasukan Utara Tanah Air Destinasi Baharu Harith Haiqal?
MakanBola
Selangor FC

Bek tengah kebangsaan, Harith Haiqal Adam Afkar dilaporkan akan berkelana ke utara tanah air.

Khabar ini timbul apabila pengacara Astro Arena, Hafizal Hamad memaklumkan bek tengah Selangor FC itu akan berkelana ke utara secara pinjaman untuk musim 2026/27.

“Harith Haiqal dikhabarkan bakal ke Utara dengan status pinjaman,” katanya dalam satu hantaran di X.

Meskipun menjadi sebahagian daripada barisan pemain yang dikekalkan Selangor untuk musim ini, pengurusan Merah Kuning dilihat mahu memastikan beliau mendapat lebih banyak minit permainan.

Ini ditambah dengan persaingan di posisi bek tengah semakin sengit terutama membabitkan pemain import. Selain mengekalkan Safuwan Baharudin dan Richmond Ankrah, Selangor turut membawa masuk bek tengah Filipina, Jefferson Tabinas.

Seorang lagi bek tengah kebangsaan, Sharul Nazeem Zulpakar juga dijangka mengintai minit permainan selepas pulih daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).

Meskipun Hafizal tidak menyatakan identiti pasukan utara berkenaan, dua pasukan berpotensi mendapatkan khidmat Harith Haiqal. Dua pasukan itu ialah Penang FC dan Star City FC.

Sekiranya Harith Haiqal berkelana ke Pulau Mutiara, beliau akan kembali bergandingan dengan Aliff Haiqal Lau. Aliff Haiqal menyertai Penang secara pinjaman dari Selangor baru-baru ini.

Jika beliau menyertai Star City, Harith Haiqal berpeluang mendapat bimbingan legenda Selangor, Mehmet Durakovic. Durakovic kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M) dengan memikul tugas sebagai ketua jurulatih menggantikan Yusri Che Lah.