Bekas jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memberi ucapan bermakna buat jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Meskipun kini sibuk dengan tugasan baharunya bersama Barcelona, jurulatih berusia 42 tahun itu tetap mengikuti perkembangan semasa bola sepak negara.
Ini termasuk pelantikan Pan-gon sebagai jurulatih baharu Selangor FC baru-baru ini. Ini mendorong Pau Marti mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Selamat maju jaya, Coach,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.
Pau Marti bukan asing dengan bekas jurulatih Ulsan HD itu. Ini kerana beliau menjadi pembantu Pan-gon dalam skuad Harimau Malaya dari 2022 hingga 2024.
Gandingan mereka bukan saja membantu skuad negara mara ke peringkat separuh akhir ASEAN Championship 2022.
Malah, gandingan Pan-gon dan Pau Marti turut membantu Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023.
Selepas Pan-gon menyertai Ulsan pada pertengahan 2024, jurulatih Sepanyol itu memikul tugas sebagai pemangku jurulatih Malaysia sehingga kempen ASEAN Championship 2024.
Jurulatih Australia, Peter Cklamovski kemudiannya menggantikan Pau Marti sebagai pengendali baharu Harimau Malaya pada 2025.