Sepanyol dan Belgium menerima nasib berbeza selepas masing-masing melakukan perubahan penting menerusi ‘pelan B’ ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026.
Aksi suku akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol vs Belgium berlangsung cukup sengit sehingga menyaksikan kedua-kedua negara ini terikat seri 1-1 selama hampir 40 minit sebelum jaringan kemenangan La Roja dicipta pada lewat aksi.
Di sebalik kemenangan Sepanyol ini, tumpuan penyokong terarah kepada pertukaran taktikal kedua-dua negara di pertengahan separuh masa kedua yang dianggap menjadi titik perubahan besar kepada keputusan perlawanan suku akhir ini.
Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente membuat perubahan di jentera tengah apabila membawa masuk Mikel Merino bagi menggantikan tempat Dani Olmo yang tampil cukup hebat selama hampir 86 minit permainan di atas padang.
Keputusan bagi memasukkan Mikel Merino itu ternyata membawa tuah besar buat Luis de la Fuente dan kem Sepanyol apabila bintang Arsenal tersebut muncul wira pasukan dengan jaringan kemenangan pada minit ke-88.
Sebagai rekod, Mikel Merino bukan kali pertama muncul sebagai ‘super sub’ buat Sepanyol di pentas Piala Dunia selepas turut menjaringkan gol kemenangan di masa tambahan ketika menewaskan Portugal 1-0 sebelum ini.
Lain pula cerita buat kem Belgium yang terpaksa membuat pertukaran penting pada minit ke-71 selepas penjaga gol utama, Thibaut Courtois mengalami kecederaan dan memasukkan Senne Lammens dari bangku simpanan.
Malang buat Senne Lammens yang melakukan debut di pentas Piala Dunia ini selepas kesilapannya gagal menangkap kemas percubaan Marc Cubarsi menghasilkan bola muntah yang kemudiannya disambar pantas oleh Mikel Merino.
Kealpaan penjaga gol Manchester United di minit ke-88 itu menghadiahkan gol kemenangan buat Sepanyol, sekali gus meranapkan impian Belgium untuk ke pusingan separuh akhir setelah aksi berakhir dengan keputusan 2-1.
Kemenangan Sepanyol ini membawa La Roja ke pusingan separuh akhir dan akan dijadualkan turun menentang Perancis bagi merebut tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia 2026 sementara Belgium menutup cerita di edisi kali ini.