Piala Dunia 2026: Gol Lewat Sepanyol Akhiri Langkah Belgium
MakanBola
SEFutbol

Sepanyol menamatkan perjalanan Belgium di Piala Dunia 2026 selepas memperoleh kemenangan hasil jaringan lewat dalam aksi suku akhir pada awal pagi Sabtu.

Tiket ke separuh akhir Piala Dunia 2026 menjadi milik Sepanyol setelah La Roja berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 mengatasi Belgium, terima kasih kepada jaringan daripada pemain gantian, Mikel Merino di lewat aksi

Barisan kesebelasan utama Sepanyol dianggotai nama-nama handal seperti Lamine Yamal, Fabian Ruiz dan Aymeric Laporte sementara Belgium pula turun dengan formasi 4-3-3 diketuai oleh bekas pemain Man City, Kevin de Bruyne.

Jaringan pembukaan berjaya diperoleh pada minit ke-30 selepas Fabian Ruiz dengan pantas menyambar bola muntah hasil percubaan oleh Dani Olmo yang gagal ditepis kemas Thibaut Courtois untuk Sepanyol di depan 1-0.

Kelebihan tersebut tidak bertahan lama setelah penyerang Belgium, Charles De Ketelaere menanduk masuk gol penyamaan selang 10 minit selepas itu, sekali gus kembali mengikat kedudukan 1-1 sebelum aksi di babak pertama berakhir.

Pertukaran segera dilakukan oleh pengendali Belgium, Rudi Garcia apabila terpaksa mengeluarkan Thibaut Courtois yang mengalami kecederaan dan membawa masuk penjaga gol Manchester United, Senne Lemmens sebagai pemain gantian.

Gol kemenangan yang dicari-cari akhirnya hadir pada minit ke-88 selepas Mikel Merino yang baru dibawa masuk menolak mudah bola muntah dari dakapan penjaga gawang Belgium, Senne Lemmens bagi menceriakan kem Sepanyol.

Perlawanan sengit di Stadium SoFi ini berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Sepany sekali gus menempah pertemuan berdepan Perancis di pusingan separuh akhir pada 15 Julai hadapan.