Berita pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend telah sampai dan turut dilaporkan oleh media antarabangsa.
Rob Friend telah diumumkan sebagai CEO pertama pasukan kebangsaan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.
“FAM mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan,” umum badan induk tersebut.
Pelantikan Rob Friend ini telah memperoleh liputan daripada media luar negara, Northern Tribune yang turut melaporkan mengenai pengumuman penting salah satu revolusi Harimau Malaya ini.
”Rob Friend, Presiden Vancouver FC baru sahaja diumumkan selaku Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) oleh badan induk bola sepak negara itu,” lapor Northern Tribune.
“Boleh dikatakan bahawa Rob Friend terlibat secara mendalam dalam pelbagai aspek bola sepak di peringkat eksekutif.”
Friend diakui memiliki pengalaman yang luas dalam bidang bola sepak dan korporat apabila mejawat jawatan Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC, Canadian Premier League serta lain-lain.
Kini, Friend bakal memainkan tugas pada Januari 2025 ini dengan mengurus dan merancang program melibatkan pasukan kebangsaan khususnya skuad senior serta B-23 negara.
Selain itu, bekas tonggak kebangsaan Kanada ini juga perlu memastikan proses di dalam struktur organisasi ini berjalan lancar dengan adanya tenaga kerja berpengalaman dan juga berkualiti.
Skuad Harimau Malaya yang bakal dibimbing oleh Peter Cklamovski bermula Januari ini mempunyai misi penting dalam saingan Kelayakan Piala Asia dengan Nepal menjadi lawan pertama pada Mac 2025.