Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Harimau Malaya bakal memulakan tugas pertama beliau tidak lama lagi.
Pada Selasa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pelantikan bekas pemain Kanada, Robert Friend selaku CEO pertama buat pasukan kebangsaan.
“FAM mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan,” umum badan induk tersebut.
Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada memiliki pengalaman yang luas dalam dunia bola sepak dan korporat dengan bergelar Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC, Canadian Premier League serta lain-lain.
Oleh itu, FAM berharap Friend mampu memberi satu impak baharu buat pasukan kebangsaan dengan tugas melibatkan pengurusan pelan serta program bersesuaian untuk skuad senior dan B-23 negara.
“Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.”
Selain itu, Friend juga berperanan penting dalam memastikan proses di dalam struktur organisasi ini berjalan lancar dengan adanya tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman luas.
“Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap,” ujar FAM.
Skuad Harimau Malaya yang bakal dibimbing oleh Peter Cklamovski bermula Januari ini mempunyai misi penting dalam saingan Kelayakan Piala Asia dengan Nepal menjadi lawan pertama pada Mac 2025.