Bekas penyerang Selangor FC, Richmond Boakye akhirnya mendapat kelab baru selepas setahun meninggalkan pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Boakye, 31, sah menyertai kelab Bosnia, FK Sloga Meridian. Beliau menjadi sebahagian daripada sembilan pemain baru yang menyertai kelab Premier League BH itu.
“Richmond Boakye sah menyertai kelab FK Sloga Meridian,” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas di platform media sosial rasmi mereka.
Selain Boakye, FK Sloga Meridian turut merekrut Benjamin Tatar, Nikola Mandić, Hamza Ljukovac, Donald Mols, Nedim Mekić, Nemanja Tomašević, Miloš Vranjanin dan Alen Dejanović.
Kesemua pemain ini diperkenalkan dalam satu sidang media yang dihadiri presiden kelab, Miroslav Krsic, pengarah sukan, Zlatko Maksimovic dan ketua jurulatih, Nedim Jusufbegovic baru-baru ini.
Boakye mewarnai Liga Malaysia pada separuh kedua musim 2023. Meskipun hanya sempat beraksi sebanyak 15 kali, bekas penyerang Juventus itu menyumbat enam gol dan mencipta tiga bantuan gol untuk Selangor.
Beliau turut membantu Merah Kuning menamatkan kempen Liga Super musim tersebut di tangga kedua. Ini membolehkan mereka layak secara merit ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selain Selangor, Boakye pernah beraksi untuk Red Star Belgrade, Gornik Zbarze, Roda JC, Sassuolo dan Jiangsu FC.