Indonesia dan Itali dilaporkan mendapat peluang talian hayat untuk kembali merebut slot ke Piala Dunia 2026.
SEAsia Goal melaporkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikatakan menimbang kemungkinan mengadakan aksi penentuan playoff antara konfederasi untuk slot kejohanan itu.
FIFA menimbang senario tersebut seandainya Iran mengambil langkah menarik diri daripada saingan Piala Dunia 2026.
Iran sebelum ini bersedia menarik diri jika merasakan keselamatan mereka terancam bila beraksi dalam kejohanan itu.
Ini susulan perang yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan negara Asia Barat itu. Iran juga cuba berunding untuk memindahkan lokasi perlawanan mereka ke Mexico dari AS.
Meskipun begitu, usaha tersebut ditolak FIFA. FIFA turut menegaskan semua perlawanan mereka dalam Kumpulan G akan tetap diadakan di AS.
Sekiranya Team Melli memilih menarik diri, aksi playoff antara konfederasi akan diadakan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pasukan itu.
FIFA dijangka memilih negara ahli Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai pasukan yang akan menyertai playoff itu.
Jika itu menjadi kenyataan, empat pasukan UEFA berpotensi ialah Itali, Poland, Kosovo dan Denmark. Indonesia, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula sebagai calon pasukan AFC.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada FIFA berhubung pelan perlawanan tersebut.