Peluang Kedua Indonesia Ke Piala Dunia Tertutup
MakanBola
Timnas Indonesia

Peluang kedua buat Indonesia layak ke Piala Dunia 2026 nampaknya sudah pun terkubur.

Terdahulu, tular beberapa laporan memaklumkan Iran bakal menarik diri daripada tampil di Piala Dunia 2026 susulan isu politik yang membabitkan negara tersebut dan tuan rumah, Amerika Syarikat.

Laporan itu telah mengundang persoalan ramai berkenaan negara pengganti andai Iran benar-benar ingin mengambil keputusan menarik diri dari kejohanan bola sepak tertinggi dunia itu.

Satu idea dilaporkan menjadi pertimbangan apabila terdapat kemungkinan aksi playoff antara konfederasi bakal diadakan membabitkan negara di benua Asia dan Eropah bagi mencari pengganti Iran.

Antara negara yang disebut bakal terlibat dalam perlawanan playoff itu adalah Itali, Poland, Kosovo, Denmark, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain wakil tunggal dari ASEAN iaitu Indonesia yang mara sehingga pusingan ke-4 kelayakan tempoh hari.

Perkhabaran tersebut sekali gus menghidupkan kembali impian peminat Indonesia untuk menonton Sang Garuda beraksi di pentas Piala Dunia andai Iran menarik diri dan perlawanan playoff itu dijalankan.

Walau bagaimanapun, hasrat tersebut terkubur serta-merta selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan Iran bakal turut serta pada Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat seperti dijadualkan.

”Ini sangat jelas, Iran akan berada di sana (Piala Dunia) dan tugas kami adalah untuk menyatukan,” ujar Gianni Infantino menurut laporan Fabrizio Romano.

Pengumuman itu tampaknya meranapkan segala impian dan cita-cita bagi melihat negara lain seperti Itali serta Indonesia menggantikan tempat Iran pada kejohanan Piala Dunia 2026 pada Jun hadapan.