Peluang ‘Sambar’ Penjaga Gol Cape Verde Secara Percuma
MakanBola
FEDERACAO CABO

Bintang Cape Verde, Josimar Vozinha Dias masih lagi belum mendapat kelab dengan musim 2026/2027 semakin menghampiri pembukaan.

Nama Vozinha mula dikenali selepas persembahan yang memberangsangkan dalam pentas Piala Dunia FIFA 2026 bermula dari bertemu juara dunia 2010, Sepanyol dan sehingga menentang pemenang edisi 2022 iaitu Argentina sebentar tadi.

Beliau memulakan karier bola sepak bersama kelab Bateque FC dan pasukan GD Chaves yang beraksi di Liga 2 Portugal menjadi destinasi terakhir sebelum bergelar ejen bebas.

Sejak itu, ramai tertanya-tanya destinasi pilihan Vozinha yang seterusnya selepas mendapat perhatian dari serata dunia. Sebelum ini, beliau dikhabarkan menerima tawaran daripada beberapa kelab dari Brazil.

Kini, destinasi seterusnya sedang dipantau oleh seluruh peminat bola sepak dunia selepas tersingkir dari Piala Dunia FIFA 2026 walaupun berjaya menunjukkan persembahan yang menarik dengan menyelamatkan beberapa percubaan pemain terbaik dunia, Lionel Messi.

Cape Verde tersingkir dari saingan Piala Dunia FIFA 2026 selepas tumpas 3-2 kepada Argentina meskipun berjaya mengheret perlawanan sehingga 120 minit di Miami.

Selain itu, nilai pasaran Vozinha dijangka bakal naik secara mendadak berdasarkan prestasi di Piala Dunia pada edisi ini. Mengikut maklumat terkini Transfermarkt, beliau kini bernilai €50 k (RM 228,000).