Perjuangan Cape Verde dalam saingan Piala Dunia FIFA berakhir di pusingan 32 terbaik selepas tewas kepada Argentina awal pagi Sabtu sekali gus menghadiahkan tiket ke pusingan 16 terbaik buat La Selección .
Selaku juara dunia edisi lalu, Argentina melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA selepas menundukkan Cape Verde 3-2 di Miami, aksi memukau dari Lionel Messi dan Lisandro Martinez menjadi tumpuan aksi sengit ini.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni melakukan sembilan pertukaran dengan kapten Lionel Messi kembali dalam kesebelasan utama, manakala pengendali Cape Verde, Bubista membuat lima pertukaran termasuk menurunkan Steven Moreira, Nuno da Costa dan Jovane Cabral sejak sepak mula.
Lisandro Martínez bijak memecahkan blok pertahanan rendah Cape Verde menerusi hantaran tepat kepada Lionel Messi sebelum kapten Argentina itu meluru membawa bola dan meledak gol pada minit ke-29.
Cape Verde mengejutkan Argentina pada minit ke-59 apabila Deroy Duarte menyudahkan peluang hasil hantaran Ryan Mendes dengan rembatan di celah kaki Cristian Romero yang menewaskan Emiliano Martínez dari sudut sukar.
Julián Álvarez dan Nicolás González dimasukkan bagi menambah sengat serangan namun Argentina gagal memecah benteng lawan untuk mencari gol tambahan.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa kedua sekali gus memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit.
Argentina sekali lagi berada di hadapan pada minit ke-93 menerusi Lisandro Martínez yang menyambar bola hasil tandukan Alexis Mac Allister daripada sepakan sudut sebelum melepaskan rembatan dalam keadaan kelam-kabut di depan gol.
Cape Verde menunjukkan semangat juang tinggi apabila Sidny Cabral meledakkan gol sensasi pada minit ke-103. Ianya satu rembatan lencong dari luar kotak penalti di sebelah kiri yang cukup memukau.
Gol kemenangan Argentina hadir pada minit ke-111 hasil sepakan sudut Lionel Messi dengan tandukan Cristian Romero yang terkena sedikit kepala Diney Borges sebelum bola menerjah gawang sendiri.
Pertarungan sengit ini berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Argentina sekali gus menepati ramalan sebagai pasukan pilihan untuk lolos ke pusingan 16 terbaik dan bakal bertemu Mesir pada 8 Julai.