Pemain Berdarah Malaysia Buat Debut Di Piala Dunia
MakanBola
Commbank Socceroos

Pemain sayap Australia, Nishan Velupillay menjadi pemain berdarah Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia.

Pemain sayap Melbourne Victory berusia 25 tahun itu melakar rekod berkenaan apabila masuk sebagai pemain gantian dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Dunia 2026 menentang Turkiye.

Nishan masuk menggantikan pemain sayap Watford dan penjaring gol pertama Australia, Nestory Irankunda pada minit ke-61. Lebih menarik, beliau juga menjadi pemain berdarah Tamil pertama beraksi di Piala Dunia.

Fakta menarik ini dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. “Nishan Velupilay jadi pemain berdarah Malaysia dan Tamil pertama bermain dalam perlawanan Piala Dunia,” katanya di X.

Nishan beraksi selama 35 minit untuk membantu Australia menumbangkan Turkiye 2-0 di Vancouver, Kanada. Selain Irankunda, pemain tengah St. Pauli, Connor Metcalfe turut mencetak nama sebagai penjaring.

Keputusan ini menyaksikan Australia menduduki tempat kedua di belakang pendahulu dan tuan rumah, Amerika Syarikat (US). US menerajui kumpulan selepas membelasah Paraguay 4-1.

Ini penampilan kelapan Nishan bersama Australia di peringkat antarabangsa. Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan berusaha merekrut beliau agar dapat bermain untuk Harimau Malaya.

Walau bagaimanapun, hasrat itu terbantut apabila jurulatih The Socceroos, Tony Popovic memasukkan Nishan sebagai pemain gantian dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China pada 2024.