Pemain Kacukan Malaysia-Croatia Sudah Dapat Izin
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia berpeluang untuk menambah kekuatan skuad muda dengan kehadiran pemain kacukan daripada Croatia.

Nama anak kepada jurulatih terkenal, Bojan Hodak iaitu Luka Jordy Hodak kini menjadi sebutan apabila pemain berusia 18 tahun itu berkelayakan untuk mewakili negara setelah ibunya adalah rakyat Malaysia.

Selain itu, Luka Hodak yang kini beraksi buat skuad muda NK Trnje di Croatia juga dilahirkan di Damansara dan memegang pasport Malaysia, sekali gus membolehkan beliau menyarung jersi negara.

Sebagai seorang bapa, Bojan Hodak tidak akan menghalang seandainya Luka mendapat panggilan Malaysia dan sentiasa memberi sokongan apabila anak beliau layak untuk bermain bersama skuad negara.

“Isteri saya adalah warga Malaysia dan Luka pula dilahirkan di Malaysia,” jelas Bojan Hodak menurut laporan Stadium Astro.

“Dia (Luka Hodak) memiliki pasport Malaysia dan seandainya dia menerima panggilan daripada skuad Malaysia, kami bakal membenarkannya menyertai kem latihan.”

“Kami tiada sebarang masalah untuk dia mewakili Malaysia,” kata jurulatih Persib Bandung itu lagi.

Bojan Hodak sememangnya tidak asing lagi dengan senario sepak negara memandangkan jurulatih kelahiran Croatia ini pernah melatih beberapa kelab dalam saingan Liga Malaysia.

Selain itu, Bojan Hodak sendiri pernah bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika dilantik selaku jurulatih Malaysia B-19 sekitar tahun 2017 hingga 2019 lalu.

Jika Luka Hodak mendapat panggilan kebangsaan tidak lama lagi, ini akan memberi satu nilai tambah buat pasukan negara khususnya kepada skuad Malaysia B-19 yang bakal bersaing di Kelayakan Piala Asia B-20 nanti.