Barisan pemain Liga Super Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilaporkan kembali memboikot sesi latihan selepas tiada tindakan proaktif daripada pihak pengurusan pasukan tersebut.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom dalam satu hantaran di laman X.
Berita ini nyata mengejutkan para penyokong Kedah yang berharap ada sesuatu yang positif di sebalik maslaah gaji yang dihadapi lebih-lebih lagi Kedah bakal bertemu Terengganu FC pada 19 Oktober depan.
“BOIKOT 2.0 di Alor Setar.
“Selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang, boikot latihan bersambung rentetan tiada tindakan proaktif dari pihak pengurusan selesaikan isu tunggakan gaji. 19 Oktober jumpa TFC guna pemain SUKMA lagi ke?,” kongsi Fina Nasrom di laman X.
Ini bukanlah kali pertama pemain Kedah memboikot latihan kerana pada awal September, pemain Kedah turut memboikot sesi latihan kerana masalah gaji yang menghantui mereka.
Untuk rekod, Kedah pernah menurunkan barisan pemain muda ketika bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Liga Super yang mana menyaksikan Kedah tewas besar 0-5.