Bintang Liga Indonesia Bakal Perkuat Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Seorang pemain yang pernah beraksi di liga Indonesia bakal memperkuatkan cabaran Kuching City FC untuk musim hadapan.

Perkara ini disahkan presiden kelab itu, Dato Fazzrudin Abdul Rahman apabila ditanya tentang perkembangan terbaru The Cats bagi menghadapi musim 2026/27.

Meskipun tidak mendedahkan identiti pemain berkenaan, Fazzrudin memaklumkan pemain misteri itu memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia.

“Ada seorang dari Liga Indonesia, beliau pernah bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan pasukan di Liga Indonesia. Jadi kita merasakan pengalaman beliau akan dapat membantu pasukan, siapa kita tunggu pengumumannya,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Fazzrudin berkata demikian selepas majlis pelancaran Liga Bola Sepak Kuching 2026 di Kuching pada 28 Jun lalu.

Beliau turut mendedahkan Kuching City bakal mendapatkan lapan atau sembilan pemain bagi menghadapi cabaran musim ini. Ini disebabkan pasukan itu menghadapi beberapa kejohanan lain selain Liga Malaysia (Liga M).

Selain Liga M, Kuching City akan bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Shopee Cup. Fazzrudin memaklumkan pemain-pemain yang bakal direkrut cukup sinonim dengan Liga Super.

“Jadi kita menganggarkan lebih hingga sembilan orang pemain baharu dan nama mereka sudah sinonim dengan Liga Malaysia,” tambahnya.

Antara pemain yang dikaitkan dengan The Cats ialah Safawi Rasid, Ajdin Mujagic, Declan Lambert, Park Jun-heong dan Dylan Wenzel-Halls.

Kuching City bakal membuka kempen musim 2026/27 dengan aksi Piala Sumbangsih menentang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).