Skuad muda Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menunjukkan mutu permainan terpuji dengan mengikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi Kumpulan B Piala Presiden 2024 pada 8 Ogos lalu.
Selepas Kelantan DN dan Negeri Sembilan layak ke peringkat suku akhir Piala Presiden, perlawanan ini dilihat medan eksperimen bagi pengendali kedua-dua pasukan.
Ini memberi peluang kepada skuad Kijang Emas untuk menurunkan beberapa pemain simpanan bagi membolehkan mereka merasai minit permainan di atas padang.
Malangnya, tuan rumah yang beraksi di Stadium Mini Daerah Machang ketinggalan pada minit ke-25. Ini selepas Mohammad Zahir Syakil Mohammad Zamani mencipta nama sebagai penjaring skuad Rusa.
Tersentak, Kelantan DN berusaha untuk bangkit mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah membuat beberapa pertukaran pemain untuk mendapatkan gol penyamaan.
Pertukaran pemain yang dilakukan membuahkan hasil apabila Muhammad Mukhriz Nekmat meledakkan gol penyamaan pada minit ke-80. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Persembahan skuad Kijang Emas turut memuaskan pengendali pasukan itu, Mohd Zaki Mat Hussin memandangkan ini aksi terakhir Kumpulan B.
“Saya menurunkan pemain yang kurang minit. Peluang diberikan agar mereka dapat memperagakan aksi kepada pihak kejurulatihan.
“Alhamdulillah, persembahan mereka sangat bagus kerana menguasai perlawanan dan mencipta deretan peluang biarpun gagal disudahkan,” katanya di Instagram skuad Kijang Emas.
Selain Kelantan DN dan Negeri Sembilan, Selangor FC dan PDRM FC turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir dari Kumpulan B. Sementara JDT, AMD Bawah 17 Tahun (B-17), Perak FC dan Terengganu FC mara dari Kumpulan A.
Kelantan DN bakal berdepan AMD B-17 untuk aksi suku akhir Piala Presiden 2024 yang berlangsung pada 3 dan 10 Oktober ini.