Pemain Thailand Maut Dipanah Petir
MakanBola
FC Yala

Seorang pemain Thailand meninggal dunia akibat dipanah petir ketika beraksi dalam saingan Piala FA Sungai Golok.

Portal Vietnam.vn melaporkan pemain FC Yala, Allahyarham Safwan Awae dipanah petir ketika perlawanan yang berlangsung pada 4 Ogos lalu. Insiden sama turut menyebabkan 12 pemain lain mengalami kecederaan.

Susulan itu, semua pemain yang cedera dibawa ke hospital dengan Safwan mengalami kecederaan parah. Meskipun mendapat rawatan di hospital, bekas pemain Pattani FC itu menghembuskan nafas terakhir.

FC Yala kemudiannya mengumumkan berita pemergian Safwan di semua platform rasmi mereka. Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengucapkan takziah kepada kelab, keluarganya dan komuniti bola sepak atas apa yang berlaku.

Lebih menyayat hati, Safwan baru saja menyertai FC Yala. Kelab Thai League 3 itu baru memeterai kontrak dengannya pada 29 Julai lalu.

Musim lalu menyaksikan Safwan menabur bakti bersama Pattani FC. Meskipun hanya beraksi sebanyak 18 perlawanan, bekas pemain VRN Muangnont itu menyumbat tujuh gol bersama pasukan itu.

Sumbangan Safwan membantu Pattani FC layak beraksi dalam saingan Thai League 1 musim ini.