“Pemain Warisan Malaysia Biasa-Biasa Saja” – Pakar
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) Vietnam, Hoang Anh Tuan, mengkritik barisan pemain warisan Malaysia dengan menyifatkan mereka masih berada pada tahap biasa-biasa sahaja dan bukan berstatus bintang.

Anh Tuan menyatakan bahawa dari segi koordinasi permainan, skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski kelihatan tidak konsisten dan kurang kemas apabila berdepan tekanan pasukan lawan.

Itu apa yang disuarakan Anh Tuan selepas menyaksikan Vietnam tewas 0-4 kepada Malaysia dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Pemain naturalisasi (warisan) baharu Malaysia adalah lebih baik berbanding pemain domestik. Menaturalisasikan pemain asing dalam pasukan Malaysia boleh mewujudkan motivasi kepada pasukan ini, sekurang-kurangnya dari segi semangat.

“Bagaimanapun, kita perlu akui dengan tenang bahawa pemain naturalisasi Malaysia masih belum berada di tahap superstar bola sepak dunia, jadi mereka bukanlah jenis pemain yang mudah bermain dengan baik di mana sahaja mereka pergi. Mereka memerlukan masa untuk adaptasi,” jelas Anh Tuan kepada Dantri.

Anh Tuan menganggap ianya adalah perkara biasa untuk melihat pemain-pemain baharu memerlukan masa mendapatkan persefahaman bersama rakan sepasukan yang baharu.

Mengambil contoh Indonesia, Anh Tuan merasakan Malaysia akan melalui jalan yang sama seperti Indonesia apabila memerlukan masa yang lebih panjang untuk pemain-pemain baharu serasi dengan pasukan.

Kemenangan besar 4-0 yang memihak Malaysia ini bukan sahaja melonjakkan semangat Harimau Malaya dalam kempen kelayakan, malah menjadi jawapan padu terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap pemain warisan.