Selangor sah kehilangan khidmat pembantu jurulatih setelah Conor Nestor diumumkan sebagai pengendali baharu kelab Kemboja, Boeung Ket FC.
Nestor telah dilantik menjadi pembantu jurulatih Selangor FC pada April lalu dan banyak membantu Nidzam Jamil dalam merangka strategi buat Gergasi Merah sepanjang musim ini.
Berita pengumuman ini dimuat naik menerusi satu hantaran video yang memperkenalkan Nestor selaku ketua jurulatih baharu buat Boeung Ket dalam saingan Cambodian Premier League.
Untuk rekod, ini merupakan kelab kedua yang dibimbing oleh Nestor di Kemboja setelah pengendali kelahiran Ireland ini pernah melatih PKR Svay Rieng 2018 hingga 2023 yang lalu.
Menurut Nestor, meskipun sukar namun keputusan untuk meninggalkan Kemboja sebelum ini diambil kerana tawaran yang sukar untuk ditolak demi perkembangan kerjaya beliau sebagai jurulatih.
”Keputusan untuk meninggalkan (Kemboja) sangat sukar, kerana saya amat gembira berada di sini,” ujar Nestor dalam hantaran video di media sosial Boeung Ket.
“Akan tetapi saya telah mendapat tawaran yang sukar untuk ditolak bagi karier saya,” tambah jurulatih berusia 40 tahun itu lagi.
Nestor turut mengakui amat merindui suasana di Kemboja termasuklah bola sepak di sana dan berterima kasih kepada pihak Boeung Ket kerana merealisasikan hasrat beliau untuk pulang.
”Saya boleh katakan sejak hari pertama saya meninggalkan (Kemboja), saya sangat merindui Kemboja dan bola sepak di sini. Terima kasih Boeung Ket kerana membawa saya pulang.”
Selain mengendalikan dua kelab di Kemboja dan membantu Nidzam Jamil di Selangor, Nestor juga pernah memegang jawatan selaku Pengarah Teknikal pasukan Hyderabad FC di India.
Boeung Ket kini menghuni tangga ke-6 Cambodian Premier League dengan pungutan sembilan mata setelah mencatat 3 kemenangan dan dua kekalahan dalam lima aksi liga setakat ini.