Ramai peminat badminton berharap kecederaan terbaru yang dialami jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia tidak serius.
Harapan itu dizahirkan ramai peminat badminton di media sosial susulan kecederaan yang dialami beliau di peringkat suku akhir Thailand Masters.
Zii Jia terpaksa menarik diri sebelum aksi set ketiga menentang pilihan kedua dari Indonesia, Alwi Farhan. Ini selepas beliau mengadu mengalami sedikit kecederaan di bahagian lutut.
Tidak lama selepas itu, seorang pengguna X bernama Caoez2 berkongsi video Zii Jia meninggalkan stadium. Bekas juara All England itu dilihat berjalan tanpa sebarang masalah.
Caoez2 berharap kecederaan yang dialami Zii Jia tidak serius dan mendoakan beliau cepat sembuh.
“Lee Zii Jia selepas perlawanan. Kakinya nampak baik. Harapnya bukan kecederaan yang serius. Semoga cepat sembuh,” katanya di X.
Seorang peminat lain bernama Yojakmil turut bersetuju dengan pandangannya. Dia merasakan Zii Jia juga mengambil langkah bijak dengan tidak meneruskan permainan kerana mengambil kira risiko kecederaan.
“Ya, betul. Lega kaki nampak baik jadi saya harap ia lebih kepada darah dan calar.
“Tapi saya juga lega beliau tahu had beliau dan tahu tidak mengambil risiko keadaan buku lali memandangkan beliau juga menyembur buku lalinya,” katanya.
Sekiranya kecederaan Zii Jia tidak serius, beliau boleh menggunakan tempoh ini untuk rehat dan pemulihan kecederaan sebelum kembali beraksi.
Jika senario itu berlaku, maka kejohanan seterusnya yang berpotensi jadi fokus beliau ialah Germany Open. Kejohanan ini akan berlangsung dari 24 Februari hingga 1 Mac ini.