Penantian Mikel Merino Berbaloi
MakanBola
Seleccion Espanola

Gol Mikel Merino untuk Sepanyol pada minit ke-91 bukan saja membantu pasukan itu mara ke suku akhir Piala Dunia 2026. Malah, ia dilihat penutup manis buat beliau selepas berehat selama empat bulan akibat kecederaan.

Sebelum ini, jeneral tengah Arsenal itu mengalami kecederaan kaki yang serius pada Januari lalu. Kecederaan itu juga memaksa Merino menjalani pembedahan bagi membantu proses pemulihan.

Beliau hanya kembali beraksi untuk aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace di Selhurst Park. Meskipun terpilih menyertai La Roja, Merino tidak dipilih dalam kesebelasan utama bagi membantunya mendapatkan kembali tahap kecergasan yang ideal.

Atas sebab itu, pemain tengah berusia 30 tahun itu mengakui tempoh rehat yang lama membuatkan beliau menyangka akan terlepas menyertai Piala Dunia bersama Sepanyol.

“Apabila itu berlaku, anda akan mengingati segala-galanya – perkara yang baik dan perkara yang buruk, semua perkara yang anda ada di rumah,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.

“Kecederaan itu, tidak melihat anak kecil saya membesar. Saya menggunakannya sebagai kekuatan mendapatkan yang terbaik daripada diri saya.

“Ini hasil kerja keras yang sentiasa diterapkan oleh keluarga dalam diri saya. Saya telah memainkan peranan saya. (Bila gol kemenangan Sepanyol ke atas Portugal) berlaku pada saat akhir sekali lagi, saya sangat gembira.”

Sepanyol kini menunggu sama ada Belgium atau tuan rumah Piala Dunia, Amerika Syarikat (US) sebagai lawan di peringkat suku akhir.