Pencabar Kuching City, Kitchee Rekrut Bekas Bintang EPL
MakanBola
Kitchee SC

Pencabar Kuching City FC dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Kitchee terus memperkuatkan pasukan itu dengan membawa masuk bekas pemain tengah Cardiff City, Victor Camarasa.

Perpindahan pemain tengah berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan kelab Hong Kong itu dalam satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Kitchee telah memperkukuhkan bahagian tengah mereka dengan menandatangani pemain tengah Sepanyol, Víctor Camarasa, yang akan memakai jersi No. 15.

“Pemain berusia 32 tahun itu membawa pengalaman peringkat tertinggi Eropah setelah mencatatkan lebih 100 penampilan dalam La Liga dengan tempoh di Levante UD, Deportivo Alavés dan Real Betis.

“Beliau juga menghabiskan satu musim dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Cardiff City pada 2018/19, mencatatkan 32 perlawanan liga. Baru-baru ini, Camarasa bermain untuk pasukan liga utama Hungary, Debreceni VSC,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Camarasa dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama Kitchee. Ini kerana kelab Hong Kong itu memiliki empat pemain Sepanyol termasuk bekas pemain tengah Real Madrid, Asier Illaramendi.

Selain itu, Kitchee juga turut dibimbing jurulatih Sepanyol yang juga bekas pemain Brighton, Inigo Calderon. Camarasa berpotensi diturunkan apabila Kitchee bertemu Kuching City dalam aksi kedua Kumpulan H pada 15 Oktober ini.