Pengalaman tahun 2024 dilihat mematangkan skuad futsal Malaysia bagi menghadapi beberapa kejohanan besar untuk tahun 2025.
Tahun tersebut menyaksikan jurulatih Thailand, Rakphol Sainetngam membimbing skuad negara menghadapi dua kejohanan iaitu NSDF Futsal Championship Thailand dan Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.
Saingan NSDF Futsal Championship Thailand berlangsung pada Mac 2024. Kejohanan itu menemukan Malaysia dengan tuan rumah Thailand, Afghanistan dan Australia.
Atas kertas, kelebihan ranking memihak kepada Thailand yang menduduki tangga ke-11 dunia, Afghanistan (ranking ke-30 dunia) dan Australia (ranking ke-49 dunia) berbanding Malaysia (ranking ke-81 dunia).
Itu tidak menghalang skuad negara daripada meraih keputusan seri 3-3 dengan Afghanistan. Malaysia turut mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum tewas kepada Thailand dan Australia.
Saingan Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 pada November 2024 pula menyaksikan Malaysia bersama dua jaguh serantau, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan A. Timor Leste dan Brunei turut berada dalam kumpulan sama.
Saingan peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia meraih dua kemenangan dan dua kekalahan. Meskipun skuad negara tewas 2-0 dan 3-1 kepada Vietnam dan Thailand, semangat juang anak buah Rakhpol terserlah.
Malah, peningkatan yang dipamerkan skuad negara turut mendapat pujian pengendali Thailand dari Sepanyol, Miguel Rodrigo.
“Saya perlu ucapkan tahniah kepada Coach Rakhpol kerana berjaya membawa pasukan Malaysia ke tahap ini. Mereka memberi tentangan sengit kepada kami,” katanya selepas aksi Thailand-Malaysia.
“Saya perlu beri kredit kepada Coach Rakhpol kerana menjadikan aksi ini cukup menyeronokkan. Saya rasa seperti saya bersaing dengan pasukan yang berada pada tahap sama.”
Pengalaman tahun tersebut bakal membantu skuad negara apabila menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2026 dan Sukan SEA 2025.
Pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2026 bakal berlangsung dari 13 hingga 26 Oktober ini. Temasya Sukan SEA 2025 di Chonburi, Thailand pula berlangsung pada penghujung tahun ini.