Seorang penganalisis bola sepak di Jepun telah membongkar sebab yang membawa pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools ke Jepun.
Pemain berusia 28 tahun itu akhirnya meninggalkan jaguh Thailand, Buriram United setelah dua musim bersama dan menyertai kelab J-League, Cerezo Osaka.
Bekas pemain Belgium B-21 ini tampil dengan persembahan menakjubkan ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan jaguh Asia Tenggara, Vietnam dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Laman analisis bola sepak Jepun, J3 Plus yang memberikan fokus kepada analisis pemain dan kelab bola sepak di Jepun telah merungkai sebab Cools dibawa untuk membantu Cerezo Osaka.
Beliau melabel Cools sebagai seorang pemain bergred ‘A+’ susulan aksi memberangsangkan ketika bersama Buriram United dan pasukan kebangsaan.
“Boleh dikatakan bahawa ini adalah perpindahan yang sangat baik. Beliau kini merupakan pemain pasukan kebangsaan Malaysia.
“Bapanya warga Belgium dan ibunya warga Malaysia dan dia telah dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Belgium B-21. Dia berketinggian 185 cm dan hebat dalam membina permainan.
Kualiti yang dimiliki oleh pemain versatil Malaysia ini amat diperlukan oleh Cerezo Osaka untuk beraksi di liga tertinggi Jepun.
“Beliau mempunyai teknik yang tinggi dan tenang apabila memiliki bola. Beliau juga mempunyai ketepatan yang tinggi dalam hantaran jarak pertengahan.
“Beliau juga boleh membawa bola dengan menggelecek. Telah dilaporkan bahawa Cools boleh bermain sebagai pertahanan tengah, pertahanan kanan di tengah tetapi dia nampaknya pemain pertahanan tengah.
Bekas pemain Club Brugge ini juga dilihat memiliki kualiti untuk beradaptasi dengan pelbagai peranan di atas padang yang menyebabkan pemilihannya dalam kesebelasan utama lebih cerah.
“Strategi asas Cerezo Osaka ialah formasi tiga bek, jadi besar kemungkinan beliau akan digunakan di “tengah formasi tiga bek” atau “kanan formasi tiga bek”. Bagaimanapun, terdapat juga peluang untuknya digunakan sebagai bek sayap kanan,” tambah analisis tersebut.