Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka memilih negara Asia sebagai pengganti Iran dalam saingan Piala Dunia.
Forbes melaporkan kemungkinan itu dipertimbangkan badan induk bola sepak antarabangsa itu selepas Iran memilih menarik diri dari Piala Dunia.
Meskipun FIFA telah memberi jaminan Iran akan dialu-alukan menyertai kejohanan berkenaan, perkara itu ditolak negara Asia Barat itu atas faktor keselamatan.
Ini disebabkan konflik yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran sejak 28 Februari lalu.
Situasi ini tidak dibantu dengan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang enggan menjamin keselamatan pasukan itu jika Iran menyertai Piala Dunia.
Dua negara yang berpotensi mengambil alih tempat Iran ialah negara jiran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Meskipun begitu, FIFA dijangka berdepan komplikasi tentang situasi ini.
Iraq yang dibimbing Graham Arnold dijadual bertemu pemenang perlawanan Bolivia-Surinam pada 31 Mac.
Konflik AS-Israel dengan Iran menyebabkan Iraq berdepan kesukaran memenuhi komitmen perlawanan tersebut. Hal ini menyebabkan Iraq memohon perlawanan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh lain.
FIFA juga memiliki pilihan untuk memanggil sama ada Bolivia, Surinam atau mana-mana pasukan yang memiliki ranking teratas dunia sebagai pengganti Iran.
Badan induk itu juga memiliki pilihan untuk membatalkan semua perlawanan Iran dalam Kumpulan G. Ini dijangka menjadikan kumpulan itu terdiri daripada tiga pasukan iaitu Belgium, New Zealand dan Mesir.