Penggunaan VAR Di Liga Malaysia Diluluskan FIFA
Liga Super
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Liga Malaysia (Liga M) bakal menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) bermula pada musim 2024/25.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan penggunaan sistem berkenaan telah mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 29 April lalu.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, pengiktirafan ini dilihat satu kebanggaan buat Malaysia. Ini kerana Malaysia menjadi antara 68 buah negara yang mendapat pengiktirafan FIFA untuk menggunakan sistem VAR.

Advertisements

Selain itu, ahli delegasi FIFA, Bhaveshan Moorghan turut memuji persediaan yang dibuat pegawai VAR negara dan kualiti yang ditampilkan mereka sepanjang proses penilaian diadakan.

Disebabkan dua aspek ini, ini membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga M 2024/25 yang akan bermula 10 Mei ini.

Advertisements

“Delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.

“Di sepanjang seminar VAR telah dijalankan selama enam hari itu, sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.

Advertisements

“Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.

“Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekaligus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini,” katanya.

Advertisements

Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM turut memaklumkan badan induk bola sepak itu sudah memiliki pelan jangka panjang untuk sistem VAR di Malaysia.

Antara perkara yang bakal dilaksanakan FAM ialah meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR.

FAM juga akan melaksanakan proses post-mortem perlawanan (semakan pasca-perlawanan) sebagai langkah pengukuhan dan menambah baik pendidikan VAR.

FAM turut bakal memulakan latihan VAR fasa kedua untuk meningkatkan lagi bilangan pengadil VAR yang berkelayakan untuk saingan Liga M. Kesemua perkara ini akan direalisasikan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan VAR di Liga Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil-pengadil kita dipilih untuk bertugas di peringkat AFC dan FIFA.

“Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga diharap akan mampu meningkatkan mutu bola sepak negara amnya,” tambahnya.

Sistem VAR dijangka digunakan buat kali pertama untuk aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC pada 10 Mei ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram