Penjaga Gol Jepun Jadi Rebutan Dua Gergasi Eropah
MakanBola
Japan FA

Penjaga gol Jepun, Zion Suzuki dilaporkan menjadi rebutan dua kelab gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus.

Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan dua kelab tersebut berminat mendapatkan penjaga gol Parma itu atas sebab berbeza.

PSG menyedari potensi Suzuki sebagai penjaga gol berkualiti pada masa akan datang. Justeru, sebarang perpindahan membabitkan beliau dilihat sebagai pelaburan jangka panjang.

Meskipun begitu, kelab yang dibimbing bekas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique itu tidak dapat memberi jaminan dari segi minit permainan.

Juventus pula melihat Suzuki sebagai pelan sandaran seandainya usaha mereka mendapatkan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez gagal membuahkan hasil.

Kelab yang diberi jolokan La Vecchia Signora itu melihat penjaga gol berusia 23 tahun itu sebagai penjaga gol utama pasukan. Meskipun Suzuki dilaporkan berminat, Parma tidak mahu melihat beliau berhijrah ke Turin.

Bekas penjaga gol Sint-Truiden itu dilaporkan masih memiliki kontrak sehingga 2029. Sekiranya kedua-dua kelab berminat mendapatkan Suzuki, mereka perlu bersedia membelanjakan €35 juta (RM164 juta).

Ini bukan kali pertama Suzuki dikaitkan dengan perpindahan ke kelab besar. Sebelum berhijrah ke Eropah untuk menyertai Sint-Truiden pada 2023, beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.

Suzuki antara calon penjaga gol yang dinilai pengurus United ketika itu, Erik ten Hag sebagai pengganti jangka panjang David de Gea. The Red Devils kemudiannya mendapatkan Andre Onana sebagai pengganti penjaga gol Sepanyol itu.