Penjaga gol Kemboja, Vireak Dara kini boleh menghela nafas lega kerana bebas daripada tuduhan mengatur perlawanan.
Sebelum ini, nama penjaga gol Svay Rieng itu menjadi bualan ramai. Ini kerana Vireak melakukan beberapa kesilapan berprofil tinggi dalam aksi ASEAN Championship 2024 menentang Singapura.
Kesilapan-kesilapan tersebut bukan saja membantu Singapura meraih kemenangan 2-1. Malah, ini membuatkan penyokong mengesyaki Vireak terlibat dalam pengaturan perlawanan.
Lantaran itu, Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC) melancarkan siasatan untuk menyiasat tuduhan tersebut.
Nama Vireak kemudiannya digugurkan untuk aksi ASEAN Championship 2024 berikutnya menentang Timor Leste.
Kini, FFC mengumumkan Vireak bebas daripada tuduhan tersebut. Ini kerana hasil siasatan badan induk itu mendapati tiada unsur pengaturan perlawanan yang didakwa berlaku dalam perlawanan itu.
FFC turut memaklumkan bahawa sekiranya ada kes mencurigakan timbul berkenaan integriti pemain, kes tersebut akan disiasat oleh badan induk itu.
Ini memberi kelegaan kepada Vireak sekiranya khidmatnya dipanggil lagi untuk tugasan bersama skuad kebangsaan Kemboja.