Penjaga Gol Malaysia B-23 Buka Mata Peter Cklamovski
MakanBola
FA Malaysia

Nama penjaga gol Melaka FC, Haziq Aiman Mohd Esa mencuri perhatian jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski.

Ini selepas nama penjaga gol skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu antara sebahagian daripada 28 pemain yang dipanggil beliau untuk menghadapi cabaran Vietnam.

Haziq dibawa masuk sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Penjaga Gol. Selain beliau, Cklamovski memanggil Haziq Nadzli, Azri Ghani dan Syihan Hazmi Mohamad.

Ini bukan kali pertama Haziq dipanggil menyertai Harimau Malaya. Sebelum ini, namanya turut disenaraikan untuk jelajah Harimau Malaya di New Zealand pada Oktober 2024.

Prestasi baik Haziq dalam kempen kelayakan Piala Asia B-20 2025 mendorong jurulatih pada ketika itu, Pau Marti Vicente memanggil beliau.

Namanya juga tersenarai dalam senarai pemain yang mewakili Harimau Malaya untuk kempen ASEAN Championship 2024.

Selepas menyertai Melaka dari skuad Johor Darul Ta’zim (JDT II), Haziq menunjukkan prestasi baik dalam Liga Super.

Beliau beraksi sebanyak 12 kali musim ini dan merekodkan empat perlawanan tanpa bolos. Ini termasuk tiga perlawanan dalam Liga Super.

Pengalaman bersama Harimau Malaya kali ini dijangka menyuntik keyakinan Haziq untuk tampil lebih cemerlang bersama Melaka.