Penjelasan MFL Tentang Lanjutan Tarikh Akhir Permohonan Lesen Kebangsaan
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) tampil memberi penjelasan berkenaan lanjutan tarikh akhir permohonan Lesen Kebangsaan musim 2025/26.

Sebelum ini, kelab-kelab Liga Super diberi tempoh sehingga 30 April untuk melengkapkan proses permohonan lesen mereka.

Selepas beberapa kelab memohon diberi lanjutan bagi menyelesaikan proses dokumentasi mereka, First Instance Body (FIB) melanjutkan tarikh akhir permohonan kepada 10 Mei.

Situasi ini menyebabkan pengurusan Penang FC mengeluarkan kenyataan meminta MFL bertindak tegas berkenaan isu tersebut.

Ini kerana jika situasi ini dibiarkan berterusan, ini bakal menggugat kredibiliti liga termasuk dari segi pematuhan peraturan.

Susulan itu, MFL memaklumkan badan induk itu membuat keputusan lanjutan tarikh akhir itu selepas menimbang semua faktor yang dinyatakan.

Keputusan MFL dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8 (a).

Artikel tersebut menyatakan badan pembuat keputusan perlu beroperasi mengikut prinsip keadilan asasi (natural justice) dan secara minimum mengawal selia standard berikut iaitu tarikh akhir seperti tarikh akhir permohonan lesen.

MFL turut memaklumkan keputusan turut mengambil kira setiap keadaan dan permohonan kes yang dikemukakan setiap kelab.

Atas sebab itu, MFL berharap semua kelab dapat melengkapkan semua proses dokumentasi menjelang 10 Mei ini.