Penyerang berbisa Iraq, Aymen Hussain mengakhiri penantian gol negara itu dalam Piala Dunia selama empat dekad.
Penyerang berusia 30 tahun itu menamatkan penantian itu dengan menjaringkan gol dalam aksi pertama Kumpulan I menentang Norway pada Rabu.
Gol Aymen cukup istimewa kerana ini gol kedua Iraq dalam Piala Dunia sejak edisi 1986. Selain itu, ini juga dilihat satu memori indah buat beliau selepas mengharungi pelbagai kesukaran.
BBC Sport melaporkan selepas kehilangan bapa dan abangnya semasa kecil, pada satu ketika, Aymen hampir memutuskan untuk meninggalkan sukan bola sepak untuk menjaga keluarga. Meskipun begitu, ibunya mahu beliau fokus mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Selain itu, Aymen juga diuji apabila ditahan pihak imigresen Amerika Syarikat (US) di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago selama tujuh jam. Pada akhirnya, beliau dibenarkan masuk dan menyertai rombongan kem Iraq.
Insiden tersebut menyebabkan Aymen mempersoalkan sama ada US benar-benar ikhlas sebagai tuan rumah Piala Dunia. Ini kerana pada hematnya, US seharusnya mengalu-alukan pasukan-pasukan yang tiba dan bukan diberi layanan buruk.
Yang pasti, impak Aymen cukup ditagih Iraq termasuk jurulatih mereka dari Australia, Graham Arnold. Meskipun tewas 4-1 di tangan Norway, peluang Iraq untuk memburu slot ke pusingan seterusnya masih terbuka.
Ini kerana slot tempat ketiga kumpulan terbaik dilihat kunci buat mana-mana pasukan untuk layak ke pusingan seterusnya. Aymen dijangka menjadi taruhan Iraq untuk membantu mencapai slot berkenaan.