Penyerang Sepanyol ‘Ghaib’ 30 Minit Tanpa Sedar
MakanBola
SEFutbol

Kelibat penyerang Sepanyol, Mikel Oyarzabal dikesan ‘ghaib’ tanpa sedar ketika aksi pertama Piala Dunia menentang Cape Verde.

Aksi tumpuan Piala Dunia 2026 pada awal pagi Selasa menyaksikan juara 2010, Sepanyol turun menentang Cape Verde yang melakukan penampilan sulung di kejohanan berprestij itu dengan status sebagai negara ‘underdog’ kali ini.

Walaupun ramai jangkakan perlawanan bakal memihak Sepanyol dengan mudah, namun skuad La Roja tampak cukup bergelut sepanjang 90 minit untuk mencari jalan mendapatkan jaringan, ditambah pula disiplin tinggi Cape Verde.

Perlawanan di Atlanta itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sekali gus meranapkan hasrat Sepanyol untuk mengutip 3 mata pertama tatkala statistik mengejutkan direkodkan Mikel Oyarzabal pada separuh masa pertama.

Dalam tempoh 30 minit pertama permainan, Mikel Oyarzabal dikesan tidak menyentuh bola, baik di kawasan sendiri mahu pun di kawasan pihak lawan sekali gus mencatatkan rekod baharu di pentas Piala Dunia sejak tahun 1966 lalu.

Persembahan kurang memuaskan dan ketumpulan penyudah oleh penyerang Real Sociedad itu merugikan pasukan Sepanyol yang dilihat cukup dominan sepanjang 90 minit permainan namun gagal untuk menembusi gawang Cape Verde.

Mikel Oyarzabal cuma menerima rating 6.0 dari laman Sofascore pada aksi berkenaan dengan hanya 25 sentuhan, 10 hantaran dan satu percubaan tepat yang berjaya direkodkan walaupun diberi peluang beraksi penuh selama 90 minit.

Keputusan seri 0-0 ini meletakkan Sepanyol di tangga ketiga kumpulan H selepas satu perlawanan berkongsi mata dengan negara lain iaitu Uruguay dan Arab Saudi yang turut terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

Saingan kumpulan H bakal bersambung pada 22 Jun hadapan dengan Cape Verde bakal menentang juara dunia dua kali, Uruguay sementara Sepanyol turun bertemu wakil Asia, Arab Saudi di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, USA.