Sepanyol membuka kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan penuh kejutan apabila terikat seri berdepan Cape Verde dalam aksi pertama kumpulan H pada awal pagi Selasa.
Keputusan seri tanpa jaringan tercipta di bumi Atlanta yang menyaksikan Sepanyol selaku pasukan pilihan dalam aksi ini gagal untuk mencari jalan bagi mendapatkan jaringan sekali gus akur berkongsi mata bersama Cape Verde.
Barisan pemain Sepanyol tetap menggerunkan dengan nama-nama seperti Rodri, dan Marc Cucurella meskipun tanpa dua pemain sayap muda, Nico Williams serta Lamine Yamal manakala Cape Verde menurunkan penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinho.
Sebaik permainan bermula, Sepanyol tidak menunggu lama untuk menekan barisan pertahanan Cape Verde dengan siri asakan bertali arus ketika mana disiplin bertahan yang tinggi berjaya menyerap setiap serangan juara dunia 2010 ini.
Ferran Torres memiliki peluang terbaik bagi memecah kebuntuan jaringan menerusi percubaan kencang yang berjaya ditangkap kemas oleh Vozinho sebelum kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan tanpa sebarang gol yang terhasil.
Babak kedua bersambung dengan usaha Sepanyol bagi mendapatkan gol tidak berhenti meskipun dengan kehadiran Lamine Yamal, Mikel Merino dan Nico Williams, masih belum mampu untuk menembusi gawang Cape Verde.
Kekebalan penjaga gol Cape Verde, Vozinho sememangnya membuatkan La Roja kecewa dengan tonggak berpengalaman itu tanpa henti muncul sebagai penyelamat dengan persembahan tangkas di sepanjang 90 minit permainan ini.
Aksi di Stadium Mercedes-Benz berakhir dengan keputusan seri 0-0 sekali gus menjadi sejarah hebat untuk Cape Verde dalam penampilan pertama di Piala Dunia apabila cemerlang mengikat bekas juara edisi 2010, Sepanyol tanpa jaringan.
Saingan kumpulan H bakal bersambung pada 22 Jun hadapan dengan Cape Verde bakal menentang juara dunia dua kali, Uruguay sementara Sepanyol turun bertemu wakil Asia, Arab Saudi di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, USA.