Pertembungan antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super menyaksikan 4 tonggak utama The Bos Gaurus tidak dapat diturunkan.
Perak dijadualkan menerima kunjungan juara bertahan Liga Super, JDT di Stadium Ipoh bagi perlawanan minggu ke-9 Liga Super 2024/2025 pada Sabtu.
Skuad kendalian Yusri Che Lah kini berada dalam prestasi kurang baik setelah hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 5 aksi terakhir termasuklah tewas di laman sendiri kepada Kuching City.
Menurut wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, tugas sukar menanti Perak apabila bakal berhadapan dengan skuad Harimau Selatan tanpa beberapa tonggak utama.
Penjaga gol, Haziq Nadzli tidak dapat bersama pasukan kerana status beliau sebagai pemain pinjaman dari JDT, manakala Azalinullah Alias mengalami penggantungan perlawanan.
Pertahanan kebal, Luiz Motta dan pemain sayap lincah dari Korea Selatan, Lee Tae Min terpaksa disisihkan masing-masing akibay kecederaan kaki kiri dan buku lali.
Perak dan JDT akan bertemu di Stadium Ipoh pada Sabtu, 17 Ogos dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam sembilan malam.