Perak FC akan meneruskan aksi Liga Super dengan bakal menunggu kehadiran pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 17 Ogos depan.
Dalam satu kenyataan rasmi daripada Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berharap penyokong Perak akan dapat terus menyokong pasukan bagi aksi seterusnya menentang JDT di halaman sendiri.
“Kami memulakan musim Liga Malaysia 2024/2025 dengan penuh optimistik malah tiada siapa yang menjangkakan apa yang kita lalui sekarang.
“Perak FC telah wujud selama lebih 100 tahun. Sebagai pemilik kelab, kami tidak akan membiarkan prestasi buruk ketika ini menjejaskan sejarah dan kejayaan yang pernah dicapai kelab pada masa lalu.
“Sekali lagi memohon sokongan anda dan menantikan kehadiran Harimau Selatan (JDT) pada perlawanan seterusnya,” jelas Datuk Seri Azim di laman Facebook Perak FC.
Dalam pada itu, Azim juga mensasarkan Perak dapat menamatkan saingan Liga Super di kedudukan terbaik selain pergi sejauh mungkin dalam saingan Piala Malaysia.
“Fokus kami ketika ini adalah untuk memastikan Perak FC menamatkan Liga Super musim ini di kedudukan terbaik serta berusaha untuk layak sejauh mungkin di Piala Malaysia nanti,” jelasnya lagi.
Perak kini menduduki tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 6 mata selepas 7 perlawanan. Prestasi Perak juga turun naik dan lebih memeritkan mereka menerima tiga kekalahan berturut-turut di halaman sendiri.