Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah melihat anak buahnya tidak tergugat dengan tekanan yang dihadapi ketika ini.
Ketika ini, Perak berada di tangga tercorot liga selepas mengalami dua kekalahan dalam dua aksi awal Liga Super musim 2024/25.
The Bos Gaurus tewas 3-1 kepada Terengganu FC dalam aksi pertama liga pada 11 Mei lalu. Ini disusuli kekalahan tipis 3-2 di tangan PDRM FC di Ipoh pada minggu lepas.
Yusri melihat tekanan sebagai lumrah dalam dunia bola sepak. Dengan status Perak sebagai antara pasukan besar dalam liga, tekanan ini merupakan perkara biasa bagi mereka.
Atas sebab itu, Yusri mahu barisan pemain The Bos Gaurus kekal fokus agar dapat meraih kemenangan pertama dalam liga.
“Tekanan bagi saya itu lumrah dalam bola sepak. Dan apa yang lebih penting, pemain faham dengan senario tertentu (dan) terkini. Dan kita harus bersatu demi pasukan, demi kelab.
“Yang semua orang tahu Perak bukan pasukan kecil (tetapi) pasukan besar. Justeru, pemain harus berada dalam keadaan terbaik untuk merealisasikan impian semua orang termasuk pengurusan (kelab) sendiri yang selama ini berkorban untuk pasukan.
“Dan juga penyokong, baru-baru ini lebih 11,000 (orang) datang. Dan dengan mendapat mata, itu memungkinkan mereka akan terus memberi sokongan kepada kita,” katanya dalam temubual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Perak bakal bertandang ke Stadium Darul Aman malam ini untuk menentang tuan rumah, Kedah Darul Aman FC (KDA FC).