Keadaan terkini tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim difahamkan semakin baik terutamanya apabila bercakap dan berkomunikasi.
Minggu lalu, Faisal yang sebelum ini ditempatkan di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) dimaklumkan sukar untuk berkomunikasi akibat kecederaan teruk yang dialami ketika menjadi mangsa simbahan asid.
Walau bagaimanapun, semakin hari, Faisal terus menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani beberapa siri pembedahan dan terus kuat untuk kembali sembuh agar dapat kembali melakukan rutin seperti sedia kala.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Seangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar pada sidang media terkini, percakapan Faisal kini semakin jelas untuk didengari dan difahami ketika menghantar mesej melalui nota suara.
“Saya baru nak pergi tengok Faisal tapi saya difahamkan, saya pun hampir setiap hari ada menghantar nota suara kepada Faisal, percakapannya semakin jelas, itu yang penting,” kongsi Datuk Seri Shahril ketika ditemui di hospital pada Selasa.
Selain itu juga, selera makan Faisal turut semakin bertambah dengan terkini pemain berusia 26 tahun itu sedang membiasakan diri dengan diet biasa selain turut menyampaikan hasrat untuk menikmati nasi kandar nanti.
“Yang keduanya, selera makannya dah bertambah, bukan hanya diet ringan tapi juga boleh makan diet biasa. Saya dengar (Faisal) pun dah teringin nak makan nasi kandar dan sebagainya,” tambah Datuk Seri Shahril lagi.
Beliau turut berkongsi bahawa persiapan pasukan Selangor FC kini dalam tahap terbaik dan moral para pemain tidak terjejas menjelang aksi Liga Super kedua berdepan Kedah nanti.
The Red Giants bakal menerima kunjungan Kedah Darul Aman pada Sabtu, 18 Mei di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan sepak mula dijadualkan jam 8.15 malam.