Buriram United mula melakukan persiapan untuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Salah satu daripadanya ialah menangguhkan aksi Thai League 1 menentang Lamphun Warriors pada 8 Mac ini.
SNE Sports memaklumkan berdasarkan jadual asal, Buriram bakal menentang Lamphun di Stadium Lamphun Warriors pada tarikh berkenaan.
Walau bagaimanapun, Thunder Castle memohon meminda tarikh perlawanan ke tarikh yang lebih bersesuaian.
Ini kerana tarikh tersebut terlampau hampir dengan tarikh aksi kedua pusingan 16 yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 11 Mac.
Susulan itu, Thai League meluluskan permohonan juara liga musim 2023/24 itu bagi membantu persiapan mereka menghadapi JDT.
Pihak liga kemudiannya mengumumkan aksi liga tertunda membabitkan Lamphun dan Buriram bakal diadakan pada 26 Mac ini.
Ini bukan kali pertama Thai League menerima permohonan Thunder Castle untuk meminda tarikh perlawanan liga. Sebelum ini, Buriram membuat sembilan permohonan penangguhan perlawanan bagi memberi laluan kepada saingan ACLE.
Harimau Selatan bakal berdepan Thunder Castle di Stadium Buriram pada 4 Mac. Ini disusuli aksi kedua di SSI pada 11 Mac.
Buriram United layak selaku lapan pasukan terbaik Liga Timur ACLE.