Permohonan Ditolak US, Iran Lapor Ke FIFA
MakanBola
FFIRI

Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) memfailkan aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung layanan berat sebelah yang diterima pasukan itu dalam saingan Piala Dunia 2026.

The Guardian melaporkan aduan layanan berat sebelah ini timbul apabila kem Iran diberitahu agar meninggalkan Amerika Syarikat (US) sejurus selepas perlawanan Kumpulan G menentang New Zealand.

Tindakan tersebut dianggap bertentangan dengan protokol FIFA di mana pemain perlu menjalani proses pemulihan sebelum kembali ke kem induk mereka.

Selain itu, sekatan demi sekatan yang dihadapi pasukan termasuk isu visa turut mengganggu perancangan kem Iran. Lantas, ini menyebabkan jurulatih Iran, Amir Ghalenoei menggelar pasukannya sebagai pasukan yang paling ditindas dalam Piala Dunia.

FFIRI dalam satu kenyataan menyifatkan apa yang berlaku berlawanan dengan prinsip keadilan dan layanan sama rata yang diterima semua pasukan dalam saingan Piala Dunia.

Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, FFIRI memaklumkan anak buah Ghalenoei kekal fokus untuk aksi Kumpulan G seterusnya menentang Belgium.

Susulan itu, Ketua Pasukan Petugas Khas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani memaklumkan US bersedia mengadakan perbincangan berhubung sekatan yang dihadapi pasukan gergasi Asia itu.