Iran bangkit sebanyak dua kali sebelum meraih keputusan seri 2-2 dengan New Zealand dalam aksi pertama Kumpulan G Piala Dunia 2026.
Walaupun berstatus pasukan ke-23 dunia, persiapan Iran sedikit terjejas disebabkan pelbagai faktor termasuk imigresen dan perang antara Amerika Syarikat (US) dan Israel dengan negara itu.
Hal ini tidak menghalang jurulatih Iran, Amer Ghalenoei menurunkan barisan terkuat menentang New Zealand. Bekas penyerang Inter Milan, Mehdi Taremi memikul tugas sebagai kapten.
New Zealand yang dibimbing Darren Bazeley pula turut mempertaruhkan kapten dan penyerang Nottingham Forest, Chris Wood sebagai sandaran gol.
Pasukan Oceania itu mencipta kejutan dengan mendahului seawal minit ketujuh menerusi Elijah Just. Just tenang menyudahkan hantaran Wood yang menewaskan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.
Iran kembali memperkemaskan rentak dan mula menekan benteng New Zealand. Hasilnya, pemain pertahanan veteran, Ramin Rezaiean menyumbat gol penyamaan Iran pada minit ke-32.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan.
Just sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55. Beliau yang mewakili Motherwell di Scotland menyudahkan hantaran Wood yang menembusi gawang Beiravand.
Iran tidak putus asa dan terus berusaha memburu gol penyamaan. Rezaiean kemudiannya menjadi pencipta gol dengan membuat hantaran yang disudahkan Mohammad Mohebi pada minit ke-64.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kesemua pasukan dalam Kumpulan G berkongsi satu mata.
Ini selepas Belgium dan Mesir juga terikat 1-1 dalam satu lagi aksi kumpulan. Sofascore memilih Rezaiean sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0.
Selepas ini, Iran akan menentang Belgium pada 22 Jun. New Zealand pula akan menentang Mesir pada hari yang sama.