Perpisahan Nama Besar Berlaku Di JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Perpisahan mengejut melibatkan nama besar di Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang musim baharu 2025/26.

Pasukan yang bakal dibimbing oleh pengendali baharu, Xisco Munoz telah menerima sentuhan beberapa pemain baharu seperti Antonio Clauder, Jairo Da Silva dan juga Ibrahim Manusi.

Menerusi perkongsian oleh laman Johor Southern Tigers, seramai 11 pemain termasuklah lagenda kelab dan nama-nama besar bakal meninggalkan pasukan.

Kapten pasukan, Jordi Amat bakal membawa haluan baharu selepas tiga musim bersama pasukan Selatan tanah air termasuklah ketika membantu pasukan untuk mendominasi trofi domestik buat tiga musim berturut-turut.

Bukan itu sahaja, JDT membuat keputusan untuk melepaskan tiga pemain tempatan – Farizal Marlias, Izham Tarmizi dan juga pemain tengah lagenda, Safiq Rahim termasuklah pemain sayap, Ramadhan Saifullah.

6 pemain import bertaraf tinggi JDT iaitu Alvaro Gonzalez, Roque Mesa, Murilo Henrique, Jese Rodriguez, Jonathan Viera dan juga Anselmo Moraes turut membawa haluan baharu.

JDT bagaimanapun mengekalkan beberapa pemain import yang menjadi tunjang pasukan seperti Jorge Obregon, Eddy Israfilov, Park Jun-heong, Samu Castillejo dan lain-lain.

Persiapan JDT terarah kepada dua kejohanan utama iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan juga ACC Shopee Cup bagi saingan musim baharu.