Persiapan Belgium Diuji Hebat
MakanBola
Belgian Red Devils

Persiapan Belgium untuk aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol berdepan ujian hebat.

Ini selepas pasukan yang diberi jolokan The Red Devils itu tempang tanpa pemain tengah Aston Villa, Amadou Onana. Onana terpaksa melupakan kempen Piala Dunia kerana mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL).

Perkara ini disahkan doktor pasukan Belgium, Brahim Hacene. “Malangnya, pemeriksaan perubatan telah mengesahkan bahawa Amadou telah mengalami koyakan ligamen anterior krusiat (ACL).

“Ini berita yang menyedihkan, baik untuk beliau secara peribadi mahupun pasukan. Kami segera berbincang dengan Amadou dan Aston Villa untuk mencapai persetujuan berhubung pendekatan terbaik untuk pemulihannya.

“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan bersama-sama menentukan langkah seterusnya dari segi rawatan perubatan dan pemulihannya. Sepanjang proses ini, kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada Amadou,” katanya seperti dilaporkan wartawan Give Me Sport, Ben Jacobs.

Jacobs turut melaporkan pemain tengah berusia 24 tahun itu akan kekal bersama kem Belgium sekurang-kurangnya sehingga peringkat suku akhir.

Onana dijangka berehat antara tujuh hingga lapan bulan. Ini bermakna beliau dijangka kembali pulih sepenuhnya sekitar Februari atau Mac tahun hadapan.

Bekas pemain Everton itu mengalami kecederaan tersebut selepas berlanggar dengan bekas pemain sayap Chelsea, Christian Pulisic ketika aksi pusingan 16 antara Belgium dan Amerika Syarikat (US).

Beliau terpaksa dikeluarkan pada babak pertama akibat kecederaan berkenaan. Bekas penyerang Manchester United, Romelu Lukaku kemudiannya mengangkat jersi Onana selepas perlawanan sebagai tanda solidariti Belgium bersama beliau.

Belgium akan berdepan Sepanyol di peringkat suku akhir untuk merebut tiket separuh akhir.