Pengendali skuad senior Malaysia, Pau Marti Vicente mengakui merasa terganggu dengan kehadiran dron semasa sesi latihan pasukan itu semalam.
Dron tersebut dikesan semasa skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh.
Sesi ini merupakan sebahagian daripada persiapan Malaysia untuk aksi pertama Kumpulan B Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024 menentang Kemboja.
Sebaik menyedari kehadiran dron berkenaan, staf kejurulatihan Harimau Malaya memastikan dron tersebut sudah tiada sebelum mereka dapat meneruskan sesi latihan.
Meskipun terganggu dengan insiden berkenaan, Pau Marti percaya perkara ini membuatkan pemain lebih fokus menjelang aksi pertama Kumpulan A.
“Sudah tentu kita ada dron sebelum sesi (latihan) kita. Kita hanya kena pastikan dron itu sudah tidak ada lagi. Ia mungkin kebetulan atau tidak, saya tak tahu.
“Pada saya, itu mungkin bukan daripada mereka. Jika tidak, itu sesuatu tetapi kita teruskan sesi (latihan) kita kerana yang paling penting ialah apa yang kita lakukan dan bukannya apa pihak lawan lakukan,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.
Malaysia berharap dapat meneruskan rekod kemenangan lalu ke atas Kemboja pada 8 Disember ini.