Kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta mengumumkan kehadiran Shin Tae-yong selaku jurulatih baharu.
Pengumuman Shin Tae-yong dibuat menerusi hantaran media sosial yang memperkenalkan bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia ini sebagai pengendali Persija Jakarta yang baharu menjelang sepak mula musim akan datang.
“Saya selalu percaya kepada potensi pemain muda, demi kemajuan bola sepak Jakarta dan Indonesia, ujar Shin Tae-yong dalam video pengenalan berkenaan.
“Saya Shin Tae-yong, jurulatih baharu Persija Jakarta. Mari kita melangkah bersama dan buat kota ini kembali berjaya bersama-sama,” kata beliau lagi.
Nama Shin Tae-yong sememangnya tidak asing lagi untuk penyokong bola sepak Indonesia memandangkan beliau pernah melatih skuad Sang Garuda sejak 2020 sehingga 2025 sebelum kembali ke negara kelahirannya, Korea Selatan.
Antara kejayaan manis diraih Indonesia di bawah kendalian Shin Tae-yong adalah mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023 buat julung kali dalam sejarah negara tersebut selain layak ke separuh akhir Piala Asia B-23 pada tahun yang sama.
Shin Tae-yong sempat melatih kelab Seongnam FC dan Ulsan HD selepas meninggalkan Indonesia namun jodoh ketua jurulatih berusia 55 tahun itu bersama pasukan-pasukan berkenaan tidak bertahan lama sebelum akhirnya berpisah.
Kehadirannya dijangka memberi nafas baharu kepada Persija Jakarta yang berazam untuk kembali mencabar kejuaraan Liga 1 Indonesia pada musim akan datang dari musuh tradisi, Persib Bandung yang sudah muncul juara 3 kali berturut-turut.