Dunia badminton pernah menjadi saksi persaingan hebat dua legenda perseorangan lelaki dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan satu ketika dahulu.
Kini, kerinduan peminat terhadap dua legenda ini bakal terubat menerusi perlawanan persembahan badminton yang dipanggil The Legends’ Vision.
The Legends’ Vision merupakan inisiatif pembuat barangan sukan Jepun, Yonex dalam merancakkan perkembangan sukan badminton di peringkat akar umbi.
Pertembungan Chong Wei dan Lin Dan bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada minggu hadapan – minggu sama Petronas Malaysia Open 2024 bakal membuka tirainya.
Selain Chong Wei dan Lin Dan, The Legends’ Vision turut dianggotai oleh legenda perseorangan lelaki dari Denmark, Peter Gade Christensen, legenda Korea Selatan, Lee Yong-dae dan legenda perseorangan lelaki Indonesia, Taufik Hidayat.
Selain lima jaguh ini, The Legends’ Vision bakal disertai oleh dua lagi figura dunia badminton bertaraf legenda untuk tahun 2024.
Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, identiti dua legenda tersebut masih belum didedahkan. Identiti mereka dijangka didedahkan pada 8 Januari ini.