Penyerang Harimau Malaya, Romel Morales lega kerana dapat menceriakan penyokong dengan mara ke pentas final Pestabola Merdeka 2024.
Malaysia mengesahkan kemaraan ke pentas final dengan menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 September lalu.
Meskipun ketinggalan menerusi gol sendiri Feroz Baharudin, itu tidak mematahkan semangat anak buah Pau Marti Vicente. Skuad negara menyumbat dua gol menerusi Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid untuk menempah tiket final.
Morales percaya kemenangan ini berlaku disebabkan semangat kerjasama yang jitu antara semua pemain. Ini mendorong para pemain bekerja keras di atas padang.
Walaupun mengakui Filipina satu lawan yang sukar, itu bukan penghalang buat Harimau Malaya untuk mengecapi kemenangan buat penyokong yang berada di SNBJ.
“Saya bangga dengan pasukan kita. Kita berjuang dan kita tunjukkan semangat berpasukan kita. Kita kelihatan bagus bersama-sama dan kita bekerja keras sebagai satu pasukan dan satu keluarga.
“Jadi, kita boleh tunjukkan di atas padang bahawa kita berlari, memberi tekanan dan cuba berusaha mendapatkan bola. Ianya sukar, kita cuba berikan yang terbaik untuk dapatkan kemenangan dan cuba bermain demi penyokong,” katanya kepada media selepas perlawanan Malaysia-Filipina.
Skuad negara bakal berdepan Lubnan di pentas final pada 8 September ini. Lubnan mara selepas mengejutkan juara bertahan, Tajikistan 1-0 dalam aksi awal kejohanan.